Feeds:
Posts
Comments

 

Dr. HM Tuah

Dahulu dia seorang pegawai kerajaan bahagian perakaunan, sekarang bertugas sepenuh masa di rumah. Sudah tiga bulan dia menjalani kehidupan seperti itu. Suaminya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap. Anak-anak masih di alam persekolahan. Sewa rumah sudah tiga bulan tidak berbayar. Wang sudah habis. Perniagaan kecil-kecil yang dilakukan tidak menjadi.

 “Kenapa berhenti kerja?” tanya saya pada wanita yang menceritakan kisahnya ini.

 “Terpaksa berhenti. Saya tak larat lagi biarkan anak lelaki saya jadi masalah pada negara.”

 “Apa maksudnya?”

 “Selama ini dia terabai. Saya bekerja dan suami saya pula seorang pemandu lori. Kami tak dapat memberikan perhatian penuh terhadapnya. Akibatnya dia bercampur dengan budak-budak nakal.

 Rupanya selama ini dia banyak ponteng sekolah. Bila kami tahu keadaan sudah terlalu teruk. Dia sudah lama ketagihan dadah, dia curi motosikal, dia pecah rumah dan macam-macam lagi. Semuanya itu membuatkan saya rasa bersalah menjadi ibunya. Saya terlalu mementingkan kerjaya hingga anak tidak menjadi manusia. Akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja. Tetapi keadaan menjadi amat buruk selepas saya berhenti, sebab suami pun turut bermasalah di tempat kerjanya. Sekarang kami seperti merempat.”

 Saya terdiam mendengar aduannya. Kerana seorang anak seorang ibu sanggup meninggalkan jawatannya, sedangkan belum tentu anak itu menjadi ‘matang’ dalam perhatiannya. Itu satu pengorbanan nekad dan besar sekali.

 Cuma kadang-kadang saya berteka-teki dengan diri sendiri. Apakah tindakan itu bijak dan merupakan jalan terbaik? Demi tanggungjawab seorang ibu tidak dinafikan itu memanglah satu pengorbanan yang amat besar, tetapi dari sudut kehidupan dan kecemerlangan bangsa juga negara langkah itu dirasakan kurang baik.

 Keluarga yang berjaya turut diukur pada keupayaan keluarga itu muncul sebagai keluarga yang mempunyai sokongan kewangan yang kukuh. Rumah bagaimana yang mereka tinggal, di kawasan mana rumah itu berada, kenderaan jenis apa yang mereka pandu, kemudahan-kemudahan apa yang ada di dalamnya, di mana mereka bekerja, di sekolah mana anak-anak belajar, ke mana mereka membeli belah dan sekerap mana mereka bercuti bersama-sama.

 Soalan-soalan seperti ini memerlukan jawapan yang betul. Jawapan yang betul pada kehidupan mutakhir ini ialah jawapan-jawapan yang munasabah untuk meletakkan sesebuah keluarga itu pada kedudukan yang dihormati.

 Untuk seseorang diterima bekerja di sesebuah jabatan mahupun syarikat, dia perlu berjuang dalam alam pembelajaran selama hampir 20 tahun. Untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan itu pula seseorang perlu bersaing dengan begitu ramai orang yang sama-sama memohon dan sama-sama memiliki kelulusan yang sama. Apabila anda terpilih bermakna anda amat berharga dan punya harga.

 Menceritakan kejadian ini, wanita berkenaan teresak-esak menangis. Sekarang anaknya telah dihantar ke sebuah sekolah pondok persendirian dan tinggal di sana. Sedang dia dan suami masih ke sanake sini untuk mencari pekerjaan baru. Alangkah baiknya jika dahulu dia sekadar mengambil cuti tanpa gaji andainya masalah itu memerlukan waktu yang panjang untuk diselesaikan berbanding berhenti kerja terus. Sekarang masalah anak mungkin telah menemui penyelesaian tetapi masalah baru pula timbul.

 Jadilah orang pintar, sebab orang pintar tahu apa yang hendak dibuatnya, janganlah jadi orang keliru sebab setiap kekeliruan akan menyebabkan anda semakin tidak tahu.

 

Renungan…

Nasihat Seorang Bapa Abdullah bin Jaafar bib Abi Talib berpesan kepada anaknya dihari pernikahan anaknya:-

 “Anakku,berhati-hatilah engkau,Jangan bersifat cemburu kerana cemburu itu adalah kunci penceraian.Berhati-hatilah engkau jangan banyak menegur (berleter) terhadap suamimu kerana menegur itu menimbulkan kebencian.Sentiasalah memakai celak (penghitam alis mata) kerana celak itu sebaik-baik perhiasan.

 Pesanan Seorang Ibu Kepada Anak Gadisnya.Amru bin Hujru (Raja Kindah) berkahwin dengan Ummu Iyyas binti Auf bin Muhallam As Syaibani.Sebelum berlangsungnya perkahwinan itu,ibu Ummu Iyyas masuk bertemu anaknya dan berpesan:-

 “Anakku,jagalah baik-baik sepuluh perkara,kelak engkau akan memiliki perbendaharaan rumahtangga.”

 1. Hormatilah suamimu dengan menggembirakan serta memberikan kepuasan kepadanya.

 2. Turutilah perintah suamimu sebaik-baiknya.

 3. Awasilah sorotan kedua matanya jangan sampai suamimu itu melihat sesuatu yang buruk padamu.

 4. Awasilah hidungnya jangan sampai ia mencium bau,kecuali bau yang paling sedap dan nyaman.

 5. Awasilah suamimu waktu tidurnya jangan sampai terganggu kerana menggangu orang yang sedang tidur itu membawa kemarahan.

 6. Awasilah suamimu waktu makannya jangan sampai ia lapar kerana gangguan lapar yang berturut-turut itu menimbulkan kemarahan.

 7. Jagalah harta benda suamimu dengan cermat dan aturkanlah keluar masuknya dengan sebaik-baiknya.

 8. Jagalah anak-anak dan keluarganya serta pembantu-pembantu rumahtangga suamimu.

 9. Janganlah menentang perintah suamimu kerana hal itu akan menyedihkan hatinya.

 10. Janganlah engkau membuka rahsia suamimu kerana kalau engkau membuka rahsianya engkau tidak akan selamat dari pembalasannya. Kemudian berhati-hatilah engkau jangan sampai engkau gembira dihadapannya padahal ia dalam keadaan sedih.Sebaliknya jangan engkau bersedih dihadapannya di kala ia sedang bergembira”

 Asthma binti khariyah Fazari telah berkata kepada puterinya pada hari pernikahan anaknya itu:

 “Hai anakku,kini engkau akan keluar dari sarang dimana engkau dibesarkan.Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali.itulah suamimu.Jadilah engkau tanah bagi suamimu (taat perintahnya) dan ia akan jadi langit bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau lantai supaya ia menjadi tiangnya.Jangan engkau bebani ia dengan pelbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkanmu.Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhimu maka jauihilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suamimu itu akan hidungnya,pendengarannya,matanya dan lain-lain.Jangan biarkan suamimu itu mencium sesuatu darimu melainkan yang harum.Jangan pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja padamu.

Kewajipan Isteri

Apabila suami sebagai ketua di dalam lumahtangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Menuiut ulama Mazhab As-Shafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Janzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (AI Mar’ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta’al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar perihatin.

4. Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:

‘Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. ‘

5. Isteri hendaklah taat kepada suami. Di dalam sesuatu tindakan, jangan sekali-kali membelakangkan suami, kerana dia ketua rumah-tangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar. Sekiranya ke@a itu untuk Allah S.W.T. dan RasuINya, ia mestilah menyokongnya, memberi galakan dan semangat dan menasihatinya supaya tidak berputus asa.

6. Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.

Inilah di antara kewajipan isteri terhadap suami. Apabila setiap pihak menunaikan tanggungjawab, akan berkembanglah mawaddah atau kasih sayang. Batas-batas dan tanggungjawab suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturaif yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup di dalam suasana ibadah kepada Allah S.WT. Rumahtangga akan hancur jika sekiranya setiap pihak mengabaikan tanggung-jawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama dengan betul, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.

 

Sekadar Perkongsian…

Menurut Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah kebanyakkan lelaki yang berumahtangga mahukan seorang isteri.Suami tidak peduli samada isterinya melahirkan seorang anak atau 10 orang anak,yang penting baginya dia masih memerlukan isteri. Tetapi, sambungnya, ramai isteri selepas mempunyai tiga atau empat orang anak menjadi ibu dan kurang menjadi isteri.

 Peringkat awal mungkin suami boleh bertahan, menyenduk nasi sendiri, ambil nasi sendiri, ambil air sendiri sebab isteri sibuk melayan anak-anak tetapi lama-kelamaan suami menjadi bosan. Penat di pejabat dan di rumah pula tidak mendapat layanan isteri. Beliau menekankan, ramai suami tidak tahan apabila isterinya menjadi ibu sehingga suami merasa terpinggir. Di luar banyak terdapat gejala-gejala yang mengambil alih tugas isterinya di rumah untuk melayan makan-minumnya.

 Ada wanita lain dengan ramah akan bertanya, “Encik nak minum, saya siapkan kopi,encik nak makan nanti saya hidangkan nasi….”. Ini akan membuatkan suami merasa wanita itu melayannya dengan baik sedangkan di rumah dia hanya mendengar kata-kata, “You buat sendirilah, I sibuk nak layan budak-budak ni. I penatlah…”

 Suami yang longgar pengetahuan agamanya dan tidak tahu tanggungjawab akan mudah berlaku curang walaupun sepatutnya dia membantu dan faham keadaan isteri. Pesan beliau, “Isteri jangan lupa menjadi isteri”. Sambut suami balik dari pejabat, ambil begnya, layan sekejap, tuangkan air dan berikan sentuhan sayang walaupun hanya dua atau tiga minit walau sibuk bagaimana sekalipun. Jangan disebabkan dua atau tiga minit ini, akhirnya suami lebih senang dilayan oleh wanita lain.

 Seperti yang sering beliau nyatakan, orang lelaki mudah perasan. Apabila ada wanita muda menunjukkan minat, berbuat baik, lelaki yang berumur akan mudah perasan. Malah tambahnya lagi, ada wanita lain yang menghargai dirinya lebih dari isteri yang dirumah yang sentiasa mengomel dan memperkecilkan diri suami.

 Wallahualam bissawab.

(Datuk Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah)

 

 

Sumber :http://hanieliza.fotopages.com/?&page=13

Bahan
10 gm serbuk agar-agar
700 ml air
300 gm gula
400 ml susu cair
60 gm tepung jagung
400 gm aiskrim keladi
15 ml pes keladi
pewarna purple
hiasan..sebarang pilihan

Cara
1. Masakkan serbuk agar-agar dan air sehingga larut dan mendideh.
2. Masukkan gula dan biarkan mendidih lagi.
3. Masukkan susu cair yg dibancuh dengan tepung jagung. Biarkan mendideh.
4. Angkat dari api dan tapiskandalam mangkuk besar.
5. Masukkan aiskrim keladi dalam adunan puding dan kacau rata sehingga aiskrim cair.
6. Masukkan separuh adunan dalam mangkuk acuan pilihan dan bekukan sebentar.
7. Masukkan pes keladi dan pewarna purple kedalam adunan yg separuh lagi.
8. Bila adunan dalam acuan telah mulai keras, masukkan adunan yg berwarna purple keatasnya dan sejukkan.
9. Terbalikkan puding dan hiaslah mengikut pilihan sendiri.
10. Hidangkan sejuk.

Just for sharing….dapat drpd Utusan Malaysia online…

PATUTKAH sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan. (ali-‘Imran: 83).

Keterangan ayat:
“Taat secara sukarela” adalah umat Islam, manakala maksud “secara terpaksa” ialah golongan kafir. Mereka taat secara paksa kerana mereka tercari-cari tempat pergantungan. Malangnya, mereka terpaksa taat kepada nafsu syahwat mereka bagi memenuhi naluri ingin bertuhan. Pada hari akhirat kelak mereka terpaksa taat kepada Allah SWT. (Tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).

Khasiat dan kaifiat beramal:
Menurut al-Tabarani dalam al-Awsat, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah ayat ini kepada seseorang yang buruk perangainya dari kalangan anak, pekerja dan kenderaan agar berubah kepada yang lebih baik. Caranya ialah dengan membacakan ayat ini pada telinganya”. (riwayat Ibn Sunni, Lihat al-Azkar, Bab Menghadapi kenderaan bermasalah, Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).

– Petikan buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran: Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

“Doa-doa”

 

Just for sharing……

Sumber : ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com

 “Sempena saya nak berumahtangga ni, apa kitab yang ustaz nasihatkan saya baca?”, tanya seorang anak muda kepada saya.

“Kalau ustaz cadangkan buku, boleh? Bukan kitab”, saya mengusik.

“Sama sahaja tu ustaz. Satu Bahasa Arab, satu Bahasa Malaysia”, beliau membalas.

“Bukan apa, susah orang nak terima kalau Men Are From Mars, Women Are From Venus oleh John Gray tu sebagai ‘kitab’!”, saya menyambung.

“Ustaz suruh saya baca buku tu? Kenapa?”, tanyanya seperti terkejut.

“Itulah, ustaz dah cakap, mesti anta terkejut punya”, saya tersenyum.

“Kenapa ustaz tak cadangkan saya baca buku Adab Perkahwinan oleh al-Albani ke, atau buku Tarbiyyah al-Aulaad fi al-Islaam oleh Abdullah Nasih Ulwan?”, beliau menyambung pertanyaan.

See, kalau ustaz sebut kitab-kitab tu, anta pun dah tahu dan faham kenapa buku tu perlu dibaca. Tapi buku John Gray ni, kalau ustaz tak sebut, rasa-rasanya anta terfikir tak untuk membacanya?”, saya menguji.

“Hmm, entahlah. Mungkin tak kot”, jawabnya perlahan.

Apabila adik-adik meminta nasihat tentang perkahwinan, saya tidaklah begitu bimbang dengan soal hukum. Terutamanya bagi mereka yang sudah biasa dengan usrah, program-program agama dan bahan-bahan bacaan berkaitan yang pelbagai. Soal hukum-hakam, kita tahu di mana hendak bertanya, dan bagaimana hendak menyelesaikannya.

Tetapi rumahtangga bukan terbina hanya atas kejelasan soal hukum fiqh. Malah jarang benar saya berbual dan berkongsi kisah tentang rumahtangga, membabitkan soal hukum. Hukum yang Syariatullah itu jelas dan cerah.

Namun ketetapan Allah bukan hanya sekadar pada apa yang halal dan apa yang haram. Hidup ini bukan hanya pada Syariatullah. Manusia saling berhubung dengan Sunnatullah. Psikologi manusia dan peraturan komunikasi.

Inilah yang menjadikan saya senang mencadangkan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray itu. Buku itu adalah hasil kaji selidik (survey) yang membabitkan jumlah manusia yang ribuan. Ia adalah kajian tentang tabiat manusia.

johngray.jpg

Kali pertama saya mengenal buku ini ialah pada tahun 2000 iaitu pada ulangtahun pertunangan saya yang pertama. Tunang saya ketika itu mengepos buku ini jauh dari Ireland ke London, dengan meletakkan harapan agar saya membaca dan menghayatinya. Semasa buku itu saya terima, senget juga wajah saya membaca tajuknya.

“Buang tebiat ke ni? Buku apa ni?”, saya mengomel sendirian semasa membuka bungkusan pos.

“Ustaz kena baca buku tu. Besar harapan Kak Muna tu”, kata Nasreel, housemate saya ketika itu.

Selembar demi selembar saya belek. Ternyata buku itu sungguh mengenyangkan. Mengenyangkan emosi dan fikiran saya, tentang betapa perlunya saya belajar tentang manusia. Khususnya insan yang bakal berkongsi kehidupan dengan saya hingga ke hujung usia.

APA YANG SAYA BELAJAR

Lelaki dan perempuan nyata berbeza. Ungkapan klasik al-Ghazzali dalam isu yang sama menyebut, “lelaki itu 9 akal dan 1 nafsu manakala perempuan pula 9 nafsu dan 1 akal”. Terjemahan itu telah mengelirukan saya walhal soal hawa nafsu, lelaki tidak mudah dibezakan dengan perempuan.

Selepas membaca tulisan John Gray, saya mengubah kefahaman saya terhadap kata-kata al-Ghazzali itu. Ungkapan beliau sepatutnya diterjemahkan kepada “LELAKI ITU 9 LOGIK DAN 1 EMOSI, PEREMPUAN PULA 9 EMOSI DAN 1 LOGIK“.

Fikiran, keputusan dan tindakan seorang lelaki banyak dipengaruhi oleh logik dan rasional akal. Lelaki lebih selamat untuk dipertanggungjawabkan pada urusan-urusan yang perlu diputuskan dengan rasional dan bukan emosi. Maka saya akur pada ketetapan Allah yang menyerahkan persoalan Talaq di tangan lelaki. Maka lelaki yang lemah rasional dan sering emosional dalam kehidupan, adalah lelaki yang kurang kelelakiannya.

Namun, lelaki lemah emosi. Kelemahan itu menjadikan lelaki kurang sensitif dalam membaca bahasa emosi perempuan. Kekurangan daya emosi itu juga mungkin menjadi punca lelaki sukar melakukan perkara rutin dalam sebuah rumahtangga. Tanya sahaja seorang perempuan, berapa kali dalam hidupnya dia menyapu sampah, membasuh tahi di punggung anak, mengemas rumah dan memasak. Perempuan boleh melakukannya dengan rasa sejuk dan biasa, manakala lelaki terpaksa bermujahadah untuk membiasakan diri dengannya.

Perempuan yang dikurniakan Allah dengan kekuatan emosi berbanding logik dengan nisbah 9:1, menjadikan mereka guru terbaik pada membentuk anak-anak, khususnya di peringkat pra sekolah.

HUBUNGAN SUAMI – ISTERI

Akan tetapi, nasihat dan pandangan John Gray lebih saya aplikasikan kepada hubungan di antara suami dan isteri. Iaitu dua insan yang sangat perlu untuk saling memahami. Faham secara empathy dan cuba meletakkan diri di pihak pasangan.

Apabila isteri meluahkan pandangan, mengadu atau berleter tentang sesuatu perkara, amat perlu untuk seorang suami faham, bahawa tindakan itu selalunya bukanlah bertujuan untuk meminta pandangan dan idea kita ke arah penyelesaian. Sesekali ya, tetapi lazimnya tidak. Isteri-isteri sering begitu kerana mahukan perhatian. Mahukan layanan emosi dan bukti keprihatinan kita.

Maka janganlah pula suami terlalu cepat atau asyik mahu mencadangkan penyelesaian. Masalah-masalah itu sering boleh selesai hanya dengan kesediaan suami untuk menyayangi, atau dalam bahasa mudah… memujuk!

Namun ketahuilah wahai sang isteri, bahawa ia bukanlah suatu yang mudah bagi seorang lelaki. Makhluk yang gersang emosi dan kaya logik itu.

“Maafkan abang, andai diri ini tidak bijak menjadi pemujuk”, itulah suara hati saya semasa muhasabah diri tentang sikap saya terhadap isteri.

Saya tahu yang saya kurang pandai memujuk. Kekadang kaku dalam menunjukkan keprihatian. Malah sering juga tanpa disengajakan, memperkecilkan keluhan isteri… lantaran menilai keluhan itu dengan logik dan rasional diri sebagai lelaki.

“Masalah macam itu pun nak besar-besarkan”, itulah agaknya kesimpulan hati saya dan kebanyakan suami semasa mendengar pengaduan isteri.

Walhal isu itu besar… jika kita melihatnya dari sudut emosi, sebagaimana sudut isteri melihat dan menyuarakan isi hati. Maka nilaikanlah permintaan isteri dengan pertimbangan emosi, biar pun ia hanya secebis dari kemahiranmu sebagai lelaki.

“Maafkan abang!”, sekali lagi saya rasa bersalah. Salah bagi seorang suami, menilai isteri dengan penilaian lelaki yang gersang emosi.

BAGI SI ISTERI

Manakala bagi sang isteri, fahamilah jua bahawa suamimu berfikir dengan cara yang berbeza. Keputusannya banyak oleh pertimbangan akal, sesuai dengan bahu dan tangannya yang berat memikul tanggungjawab. Apabila suami bertanya, dia mahukan pandangan. Dia mudah rimas jika ruang berbincang diisi dengan esakan, tangisan, dan bukannya buah fikiran. Suami mencari penyelesaian, bukan sekadar perhatian dan perasaan.

Sama ada isteri itu seorang suri rumah, atau kerani, cikgu mahu pun doktor dan jurutera, nalurinya adalah naluri wanita. Kaya emosi dan mungkin kurang berminat dengan rasional dan justifikasi.

BELAJARLAH UNTUK SALING MEMAHAMI

Di sinilah perhargaan saya kepada buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray kerana ia mengajar saya dan isteri untuk saling faham memahami. Pelajaran dari dua planet ini juga mendidik kami untuk memberi ruang kepada rasional dan emosi masing-masing berfungsi dengan baik, sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diberi Ilahi.

Hal ini jugalah yang dibahas dengan panjang lebar oleh Stephen Covey dalam Habit #5 beliau iaitu Seek First to Understand, Then to be Understood.

Peraturan-peraturan ini bukanlah rekaan penulis seperti Covey dan Gray, namun ia adalah hasil kajian mereka terhadap tingkah laku manusia. Iaitu sebahagian daripada Sunnatullah… peraturan Allah dalam hubungan sesama manusia.

pc121051.JPG

SUAMI, ISTERI DAN KAWAN

Kerana soal emosi dan logik tadi, saya cuba untuk memahami sesuatu.

Sering saya ketemu, isteri-isteri tidak begitu berminat atau komited lagi dengan persahabatan mereka. Biar pun mereka ada ramai best friends semasa anak dara, hingga tidur berkongsi bantal dan mimpi, namun selepas berkahwin dan beranak pinak, mereka tidak lagi serapat dulu. Tumpuan dan attachment mereka sangat tertumpu pada suami dan anak-anak.

“Kalau Yang nak gi kedai dengan kawan-kawan, do some shopping, Abi tak kisah pun. Take your time. I’ll mind the kids“, saya membuka tawaran kepada isteri.

Bukan apa, saya sering rasa bersalah kerana selalu terpaksa meninggalkan isteri. Mesyuarat, bekerja out station, ceramah, program dan macam-macam aktiviti luar, menyebabkan saya sering meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah. Bukan bersuka-suka bercuti dan bercanda, tetapi tugas dan tanggungjawab yang menjadi punca.

Lantas, saya tidak keberatan jika isteri saya mahu mengambil sedikit ruang untuk beliau pergi menziarahi sahabat atau menghadiri kursus-kursus rasmi dan tidak rasmi. Waktu untuknya tanpa saya. Tetapi lazimnya isteri saya lebih prefer untuk berada di rumah. Dan sebahagian besar sahabat yang saya temui, mengakui hal ini.

Mengapa hal ini berlaku?

Oleh kerana perempuan kuat pada emosi, maka emosinya terpilih untuk hanya disuburkan oleh suami tercinta dan anak-anak. Kepuasan pada mengisi keperluan emosi hanya boleh diperolehi dari insan yang diberikan emosi itu iaitu suami dan anak-anak. Tidak ada apa sangat yang hendak dicari di luar sana.

Namun bagi si suami, kehidupannya banyak dipengaruhi oleh rasional kerana itulah alat utama beliau berperanan sebagai pemimpin keluarga. Mungkin kerana itu, saya merasakan bahawa, si suami perlu kepada rakan berbincang. Sesekali suami perlu mendapatkan pandangan ketiga. Dan kerana ini, seorang lelaki yang telah berkahwin, tetap menjaga hubungannya dengan rakan karib, kerana beliau perlu kepada input-input yang membantu beliau membuat keputusan… terutamanya ketika berkonflik dengan isteri dan keluarga.

Janganlah si isteri salah faham, dengan menyangkakan suami yang pergi kepada sahabat karib itu, telah membelakangkan dirinya. Lebih mengutamakan sahabat dari isteri sendiri. Lebih percaya kepada orang luar dari teman hidup yang dinikahinya.

Jangan begitu.

Suami pergi berjumpa dengan rakan karibnya dengan motif rasional. Mencari panduan dan penyelesaian. Sedangkan emosi, perasaan dan kasih sayangnya tetap teguh pada isteri dan anak-anak. Suami memerlukan rakan bukan untuk urusan emosi sebagaimana yang sering difikirkan oleh si isteri.

Emosi dan perasaan itu eksklusif dan hanya ada antara suami, isteri dan anak-anak. Namun keperluan mendapatkan input rasional, izinkan suami mencarinya dari seorang rakan, kerana hasil perbualan mereka, akan memulangkan kebaikannnya kepada kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak.

MERAIKAN PERBEZAAN

Saya yakin, jika setiap insan menghargai keunikan diri masing-masing, mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, hidup kita akan seimbang. Bacalah buku Men Are from Mars, Women Are from Venus itu agar kita dapat belajar untuk saling memahami. Dengan bekalan Syariat Allah dan Sunnatullah… sempurnalah perjalanan sebuah rumahtangga.

istakmala.JPG

“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki” (Al-Hadith)

You complete me“, itulah realiti hubungan antara suami dan isteri.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur