oleh : abuFateh & ummuAmjad
.
sambungan dari siri ke-2 (Matlamat Perkahwinan)
3- MEMATAHKAN SYAHWAT.Siri kali ini membawa kita untuk sama-sama merenung hikmah disebalik pensyariatan perkahwinan dalam Islam iaitu untuk mematahkan syahwat. Penciptaan syahwat bagi setiap manusia adalah sebagai pendorong untuk memnghasilkan anak. Ianya merupakan salah satu fitrah kurniaan Allah Ta’ala bagi setiap hambanya. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Imran yang berbunyi :
“Dihiaskan bagi manusia itu suka kepada benda-benda yang diingini nafsu , iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah ali-imran : ayat 14)
Islam telah memberikan panduan kepada umatnya cara yang terbaik untuk menyalurkan nafsu syahwat daripada terjebak kepada perkara yang dimurkai. Caranya dengan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan, kerana tanpa pengawasan kedua-duanya akan menjuruskan kepada penzinaan. Allah S.W.T menegaskan dalam firmanNya : “ Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan (kehormatan) mereka , yang demikian itu lebih suci bagi mereka , sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan ” (surah an-Nur: ayat 30)Kekuatan taqwa yang diperoleh daripada penjagaan pandangan dan kemaluan (kehormatan) mampu mengekang nafsu daripada melakukan perbuatan terlarang. Namun begitu bukanlah upaya kita untuk menjauhkan hati daripada kerisauan, keraguan dan khayalan-khayalan yang sentiasa membawa kepada hal-hal yang berkaitan dengan seks. Syaitan tidak akan berhenti walaupun seketika daripada meniupkan bisikan-bisikan jahatnya. Lebih-lebih lagi pada zaman yang telah rosak dengan keruntuhan akhlak masyarakat. Pendedahan aurat dikalangan wanita, ikhtilat tidak syarie’ di kalangan muda mudi sudah menjadi perkara biasa. Media massa seperti akhbar, majalah dan televisyen sentiasa memaparkan perkara-perkara yang membawa kepada pergaulan bebas, aksi lucah dan seks. Mampukah iman kita bertahan !
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :“Sungguh tidak pernah ku lihat seperti kalian, kaum wanita. Walaupun kekurangan akal dan agama namun mampu mengalahkan orang-orang berakal “
Demikianlah keadaan nafsu dan syahwat yang ada pada diri lelaki terhadap kaum wanita, apabila ia terangsang dan bergolak amat sukar dilawan oleh akal dan iman yang lemah. Maka perkahwinanlah yang mampu mengatasi jiwa yang bergelojak dalam menyalurkan nafsu syahwat ke arah jalan yang diredhai Allah. Seperti diisyaratkan dalam sabda Nabi SAW“ ….. jika tidak kalian lakukan (perkahwinan) nescaya akan terjadi kekacauan dan kerosakan besar di atas muka bumi ini .”
Perkahwinan sebagai penyelesai masalah. Sekiranya tidak mampu, maka alternatif yang kedua adalah berpuasa. Saranan Rasulullah dalam sabdanya yang berbunyi :
“Sesiapa yang memiliki kemampuan untuk kahwin hendaknya dia berkahwin. Hal ini lebih membantu menjaga pandangan serta membentengi kemahuan. Namun apabila tidak mampu hendaknya dia berpuasa. Dengan berpuasalah syahwat akan lemah”.
Pernah diriwayatkan oleh seorang hamba yang soleh bahawa terkadang perasaan hatinya tergangggu dengan lintasan syahwat dalam kesibukan dia beribadah kepada Allah. Setelah dia menyegerakan perkahwinan, dia kembali merasa tenang dan tiada lagi lintasan maksiat dalam fikirannya ketika mengadap Allah Ta’ala.Sesiapa sahaja yang melihat seorang perempuan lalu hatinya tertarik kepada wanita tersebut, hendaklah dia segera ‘mendatangi’ isterinya. Ini bertujuan untuk mengusir khayalan-khayalan negati dalam fikiran, begitulah ajaran tinggalan Nabi S.A.W.
Seperti mana yang diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW pernah melihat seorang wanita, lalu baginda segera pulang dan menemui Zainab, isterinya. Kemudian baginda bersabda yang bermaksud :
“Adakalanya seorang wanita datang seperti datangnya syaitan yang menggoda. Maka apabila seseorang daripada kamu melihat seorang wanita yang menarik hatinya, hendaklah dia mendatangi isterinya sendiri kerana dia juga memiliki apa yang dimiliki wanita tadi“
Kesimpulannya seorang isteri diperlukan demi menjaga kesucian hati. Maka itulah hikmah dihukum rejam sampai mati terhadap lelaki yang sudah berkahwin yang melakukan zina sedangkan ia sudah punya isteri untuk menyalurkan nafsunya.
4- PENGHIBUR HATI

Jiwa manusia biasanya cepat bosan dan akan merasa tidak tentu hala. Pada masa inilah hati perlu dihiburkan untuk mengembalikan ketenangan dan semangat. Saidina Ali K.A.W pernah bermadah :
‘Hiburkanlah hatimu sesaat, kerana apabila ianya terus menerus dipaksa , ia akan menjadi buta”
Orang mukmin yang sibuk beribadah juga perlu untuk menghiburkan hati atau berehat seketika dengan sesuatu yang tidak terlarang. Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menghibur hati. Kerana itulah diciptakan kaum wanita sebagai penghibur hati lelaki, begitulah sebaliknya. Ini jelas apabila Nabi Adam a.s menginginkan seorang teman setia, maka diciptkan Hawa sebagai teman, dalam keadaan beliau sudah diberi pelbagai nikmat dalam syurga.Firman Allah Ta’ala :
“ Dialah Allah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan darinya Dia ciptakan pasangannya , agar merasa tenteram disampingnya.” ( Surah ar-Rum ayat 21)
Rasulullah SAW bersabda :
”Tiga perkara di dunia ini yang membuat hatiku suka : wangi-wangian dan wanita, serta solat yang menjadi sumber utama kebahagiaanku”Demikianlah fungsi perkahwinan, ianya memberi ketenangan. Hati akan rasa terhibur apabila sentiasa bersama suami atau isteri tercinta. Berkasih sayang, bergurau senda, pandang memandang apabila berdekatan dan rindu merindui apabila berjauhan. Jiwa kita akan bahagia apabila disayangi dan menyayangi, Semua ini akan mengembalikan ketenangan hati dan menaikkan semangat untuk belajar, bekerja dan melakukan ibadah.
Hati akan lebih lagi terhibur apabila memperoleh cahaya mata yang mampu menceriakan rumah tangga. Telatah dan karenah anak-anak akan sentiasa mengukirkan senyuman di hati kita. Lebih memuaskan lagi hati kita apabila anak-anak pandai membaca, menulis, bersopan dan berakhlak dengan hasil didikan kita sendiri.
5- PENGELOLAAN RUMAHTANGGA
Pengelolaan rumah tangga akan lebih tersusun dan teratur. Bebanan kerja seharian menjadi lebih ringan dan mudah apabila suami isteri saling bekerjasama dalam menguruskan hal ehwal rumhatangga.
Isteri bertanggungjawab mentadbir urusan di dalam rumah seperti menyediakan makanan, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak dan sebagainya. Dengan cara ini, suami dapat memberi tumpuan mencari nafkah yang halal untuk menyara keluarga. Masa terluang akan lebih banyak membolehkannya melakukan aktiviti luar rumah yang bermanfaat untuk keluarga dan masyarakat, mentelaah ilmu dan beribadah. Bagi isteri yang bekerja pula dia hendaklah pandai dan bijak dalam mengimbangi tanggungjawabnya sebagai isteri mahupun ibu dengan kerjaya.Sabda Rasulullah SAW : “Tiap-tiap seorang wanita itu adalah pengurus sesebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanya hal urusannya itu”.
Sabda baginda SAW lagi : “Hendaklah kaliam memiliki hati yang sellalu bersyukur , lidah yang selalu berzikir dari isteri solehah yang membantumu menyelesaikan urusan akhiratmu”Pembahagian tugas antara suami isteri merupakan faktor penting yang dapat menjamin keharmonian dan ketenteraman hidup. Pengelolaan rumahtangga yang dikendalikan dengan sabar dan ikhlas dikira sebagai kebajikan yang akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Ta’ala.
6- Melaksanakan Kewajipan Masyarakat
Hasil termaterinya perkahwinan kita mampu melaksanakan kewajipan kepada masyarakat. Bagaimana? Bukankah apabila kita mempunyai tanggungan keluarga, sudah tentu kita akan berusaha mencari nafkah yang halal untuk mereka samada berniaga, mengajar, becucuk tanam dan sebagainya. Kita bukan sahaja mendapat hasil malah memberi sumbangan kepada masyarakat samada ilmu yang disampaikan atau perkhidmatan yang diberikan.Anak-anak dan isteri merupakan rakyat. Memimpin rakyat ke arah jalan yang benar merupakan perbuatan mulia lebih-lebih apabila disertai dengan sabar, redha dan ikhlas dalam mendidik mereka. Oleh yang demikian kita mampu membentuk keluarga yang berakhlak dan seterusnya melahirkan masyarakat yang bertatasusila .
Keluarga adalah salah satu medan melatih kepimpinan sebelum menjadi pemimpin masyarakat. Suami sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab melindungi ahli keluarganya. Suami dan isteri adalah pemimpin dan sumber tauladan untuk anak-anak. Apabila sudah terlatih dengan kepimpinan keluarga yang telah siap dengan kesabaran dan kekentalan semangat maka ia memberi panduan untuk memimpin masyarakat.
7- MATLAMAT LAIN PERKAHWINAN
a- Menjaga hal ehwal kebajikan anak yatimRasulullah SAW menjanjikan syurga bagi sesiapa yang berbuat baik dengan anak-anak yatim. Lebih-lebih lagi sekiranya kita mampu dan sanggup untuk menjadi bapa tiri kepada mereka . Allah Ta’ala berfirman :
“ Dan jika kamu tidak takut berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka) maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain , dua , tiga atau empat .. ” (Surah an-Nisa’ ayat 3)
b- Mujahadah nafsu dan meningkatkan akhlakNafsu mampu ditarbiah secara batiniah dengan melatih sifat sabar terhadap karenah anak, isteri serta suami .
c- Mengikat ukhuwwah (persaudaraan) dan meramaikan anggota keluarga
Melalui perkahwinan dapat menyatukan ukhuwah antara sebuah keluarga dengan keluarga yang lain. Justeru itu, dapat menambah jumlah anggota keluarga menjadi lebih ramai .
d- Menjaga kesopanan dan maruah diri
e- Penyebaran dakwah
f- Melindungi wanita
Dalam siri yang ke-4 insyaAllah kami akan membincangkan tajuk berkenaan dengan pemilihan pasangan.
Rujukan :
1- Al-Quranul Karim
2- Menyingkap hakikat perkahwinan adab, tatacara dan hikamh , al Ghazali terjemahan oleh Muhammad al-Baqir
3- Akhlakul Usratil Muslimati buhusun Wa Fatawa , Dr Muhammad Sayyid Ahmad Musayyar
4- Tarbiatul Aulad Fil Islam , Dr Abdullah Nasih Ulwan.
5- Tuhfatul ‘Arus , Dr Hamid Ahmad Tohir

menjaga hati agar tetap terjaga memang terasa berat,apalagi dengan cobaan yang kita hadapi disekitar linkungan yang ada, kita perlu riyadoh dengan sungguh2, terus berusaha menjaganya hati dan diri kita kearah yang lebih baik….?
please ar help me!